Daging halal: Bukan rasuah tapi tidak patuh SOP - Utusan Malaysia

Daging halal: Bukan rasuah tapi tidak patuh SOP

daging australia
Malaysia perlu menubuhkan rumah sembelih sendiri di luar negara bagi memastikan tidak timbul lagi isu halal yang meragukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati isu rumah sembelih haiwan di Australia yang status halalnya diragui tiada kaitan dengan rasuah sebaliknya lebih kepada tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Sumber SPRM berkata, selepas menerima aduan dikaitkan dengan integriti pegawai Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu pelanggaran protokol halal, SPRM telah mengambil keterangan tiga individu.

Mereka ialah Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Noor dan dua pegawai Urusetia Halal Jakim.

Bagaimanapun, kata sumber, siasatan awal SPRM mendapati isu yang dibangkitkan tiada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Sebaliknya, isu yang dibangkitkan lebih kepada isu ketidakpatuhan pusat penyembelihan tersebut dengan SOP ditetapkan Jakim berlandaskan keperluan halal.

“Jadi, setakat ini tidak nampak apa kesalahan dibawah Akta SPRM,” katanya.
Mengulas lanjut, kata sumber, maklumat yang diperoleh Presiden Pekemas adalah daripada beberapa orang yang pernah bekerja di pusat penyembelihan di Australia.

“Difahamkan, pihak SPRM akan mencadangkan satu fail pemeriksaan perundingan dibuka untuk melihat isu tersebut,” jelasnya.

Khamis lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan menerima laporan dibuat pihak Pekemas seterusnya membuat semakan dan kajian maklumat berkaitan yang diterima.

Kata beliau, ini termasuk memanggil mereka yang mengemukakan laporan itu untuk memberi maklumat lanjut khususnya berkaitan isu di bawah fungsi SPRM.

Faizan sebelum ini membuat laporan SPRM atas isu berkenaan kerana dipercayai wujud pelanggaran integriti beberapa pegawai Jakim itu seolah-olah hanya memejamkan mata dan membenarkan segala salah laku berlaku tanpa pemantauan sebaiknya.

Sedangkan katanya, tindakan pemeriksaan dan pemantauan adalah di bawah tanggungjawab pegawai termasuk seorang pengurusan tertinggi jabatan berkenaan.

Menurut Faizan, SPRM akan membentangkan laporan isu tersebut dalam mesyuarat suruhanjaya itu, seterusnya melantik pegawai penyiasat berdasarkan SOP siasatan suruhanjaya berkenaan.

Faizan adalah salah seorang yang mendedahkan bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan di Australia, termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×