PETALING JAYA: Komplot syarikat-syarikat peladang menutup ladang mereka sehingga menjejaskan bekalan ayam mentah di pasaran adalah cubaan pertama kumpulan ‘tangan hitam’ itu menuntut harga siling dinaikkan kepada RM9.90 sekilogram.
Harga siling ditetapkan ketika ini iaitu RM8.90 sekilogram dianggap tidak lagi relevan oleh kumpulan itu susulan peningkatan kos operasi termasuk harga dedak ayam.
Masalah bekalan ayam terus meruncing di seluruh negara apabila beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mengalami keputusan bekalan ekoran tindakan penutupan ladang.
Terbaharu, beberapa kilang pemprosesan ayam di Terengganu turut mengeluarkan notis penutupan kilang selama dua hari mulai hari ini.
Sumber dalaman industri memberitahu Utusan Malaysia, ‘pengisytiharan perang’ kepada kerajaan adalah cubaan pertama bagi menggesa pihak berkuasa meningkatkan harga siling supaya selari dengan peningkatan kos penternak.
Katanya, esok kumpulan tersebut mula beroperasi semula seperti biasa bagi melihat reaksi kerajaan, namun bekalan ayam masih dicatu sehingga pihak berkuasa menuruti permintaan mereka.
“Mereka nak tengok bagaimana keadaan dan reaksi kerajaan. Macam yang saya dengar, mereka minta harga kawalan itu dinaikkan sehingga RM9.90. Jadi kalau kerajaan setuju mungkin pasaran tidak mengalami masalah terputus bekalan seperti hari ini.
“Tetapi apa yang saya perasan, mungkin RM9.90 itu adalah permulaan. Kumpulan itu akan masih kekalkan cara catuan ayam maknanya mereka beri pada pembekal masih kurang sebab harga sebenar perlu capai hampir RM12 untuk satu kilogram,” katanya ketika dihubungi.
Bekalan meruncing
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Chow Kit, Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur semalam mendapati, masalah bekalan yang meruncing turut menyebabkan rata-rata peniaga ayam menutup operasi gerai lebih awal pada sebelah pagi berbanding pukul 2 petang sebelum ini.
Kekurangan ayam dalam pasaran mendorong segelintir peniaga sengaja menyimpan bekalan ayam segar dan menjualnya pada harga RM13 sekilogram.
Terdahulu, akhbar ini mendedahkan, terdapat sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Namun, perkara ini dinafikan mempunyai pertalian dengan kartel, sebaliknya lebih kepada masalah pertumbuhan ayam yang lambat dan tidak mencapai kadar sepatutnya untuk ditangkap.
Bagaimanapun, ia lebih menguatkan pendedahan akhbar apabila terdapat pelbagai sumber mendakwa alasan dikemukakan itu adalah penipuan semata-mata dan peruncit sendiri juga mengeluh mengenai bekalan yang terputus disebabkan komplot tersebut.
Sumber berkata, komplot itu mempunyai rancangan untuk menutup ladang sebulan sekali atau berganti cuti supaya pelan mereka tidak dihidu seperti kali ini.
“Ini akan membuat peruncit dan pembekal marah jika benar-benar berlaku sebab kami tidak dapat bekalan sepatutnya. Saya sering menerima aduan daripada peniaga-peniaga kecil yang tidak faham masalah utama ini.
“Ramai persoal mengapa boleh jadi sampai begini, periuk nasi mereka bergantung sepenuhnya kepada penjualan ayam jadi jika peladang meneruskan strategi ladang tutup maka mata pencaarian mereka juga hilang,” jelasnya.
Sumber berkata, terdapat desas-desus mengenai industri ternakan lain akan cuba menggunakan strategi sama seperti kartel ayam bagi meraih keuntungan.
“Jangkaan saya selepas ini, ternakan ruminan, telur dan beras menggunakan taktik yang sama seperti penternak-penternak ayam ini. Jika dilihat sekarang pun masing-masing mengalami peningkatan kos tetapi produk mereka dijual dibawah harga standard,” ujarnya. – UTUSAN










