KUALA LUMPUR: Pengecaman yang sepatutnya dibuat terhadap remaja perempuan, Bella yang dikatakan diabaikan dan dianiaya oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Ini kerana remaja Sindrom Down tersebut sedang demam.
Bella kini dijaga di sebuah pusat perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Seremban.
Selain Bella, beberapa penghuni Tumah Bonda yang dikatakan berada di rumah penjagaan tersebut sewaktu Bella dikatakan didera turut dijadualkan untuk hadir ke mahkamah untuk dicamkan oleh saksi pendakqaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood.
Menurut Timbalan Perdakwa Raya, Nor Azizah Mohamad ketika ditemui media mahkamah berhenti rehat seketika, Bella memang dijadualkan hadir untuk pengecaman namun mereka telah telah dimaklumkan bahawa remaja itu tidak sihat.
“Memang sepatutnya hadir tetapi Bella demam. Sepatutnya panggil sekali dengan beberapa lagi penghuni Rumah Bonda tetapi disebabkan Bella demam, maka pengecaman ditangguhkan.
“Kita nak buat pengecaman sekaligus untuk memudahkan saksi, Bella dan penghuni-penghuni lain,” katanya.
Pada ketika ini prosiding diteruskan dengan sesi pemeriksaan semula pihak pendakwaan terhadap Yasmin.
Siti Bainun, 31, sedang dibicarakan atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.
Pertuduhan terhadap Siti Bainun dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.- UTUSAN
Habis…