SEREMBAN: Bekalan ayam di Negeri Sembilan masih berada dalam keadaan terkawal walaupun berlaku pengurangan di beberapa lokasi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata, hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri mendapati, bekalan ayam stabil tetapi berkurangan sedikit berbanding jumlah bekalan biasa sebelum ini.
“Bagaimanapun, situasi ini masih berada dalam keadaan terkawal di semua peringkat rantaian perniagaan termasuk di pasar basah, pasar borong dan pasar raya besar.
“Permintaan yang tinggi semasa musim perayaan menyebabkan bekalan ayam di satu ke dua tempat sedikit terganggu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan operasi pemantauan isu bekalan ayam di sebuah pasar raya besar, di sini hari ini.
Jelas Veerapan, pemantauan berterusan sentiasa dijalankan bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan pegawai pemantau harga bagi memastikan bekalan ayam mencukupi dan dijual di bawah harga kawalan.
“Setakat ini, tiada aduan berkaitan kenaikan harga ayam yang mana ayam standard dijual pada harga RM8.90 sekilogram manakala ayam super dijual pada harga RM9.90 sekilogram,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan ayam di Negeri Sembilan diperoleh dalam negeri termasuk ladang ternakan di Gemencheh, Tampin serta dari Selangor.
“Permintaan ayam oleh pengguna di Negeri Sembilan adalah sebanyak 2.2 juta ekor sebulan dan bekalan ini dilihat semakin stabil selepas berlaku pengurangan bekalan ayam sejak Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya. – UTUSAN