SEREMBAN: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya memenangi jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Port Dickson.
Dalam Pemilihan PKR 2022 itu, beliau yang juga Menteri Besar, menewaskan tiga calon lain termasuk penyandang yang juga Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi.
Hasil keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menerusi laman web wwww.pemilihankeadilan2022.com, Aminuddin memperoleh sebanyak 1,129 undi manakala Ravi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung mendapat sebanyak 951 undi.
Dua pencabar lain iaitu, B. Sevalingam dan Datuk Halim Khomiza masing-masing memperoleh sebanyak 477 dan 109 undi.
Satu lagi Cabang yang mendapat tumpuan di negeri ini adalah PKR Cabang Seremban dengan jawatan Ketua Cabangnya dimenangi oleh Setiausaha MPN Keadilan Negeri Sembilan, Muhammad Nazri Kassim.
Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Muhammad Nazri membuat kejutan menewaskan pencabarnya iaitu Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek.
Beliau memperoleh sebanyak 771 undi manakala Mohamad Rafie yang merupakan ADUN Ampangan yang juga ahli Exco kerajaan negeri mendapat sebanyak 676 undi.
ADUN Labu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad pula mengekalkan jawatannya sebagai Ketua PKR Cabang Rasah.
Beliau mendapat sebanyak 413 undi dan menewaskan dua lawannya iaitu Azhar Muhammed Kassim yang memperoleh 167 undi manakala A. Murugeson mendapat 155 undi. – UTUSAN










