PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak masih menerima aduan kes buli doktor pelatih walaupun Kementerian Kesihatan sudah mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyiasat budaya tersebut yang didakwa berlaku di hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan.
Jurucakap gerakan tersebut, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, pasukan petugas khas kerajaan itu bagaikan tidak menakutkan ‘pembuli’ yang kebanyakannya membabitkan doktor senior apabila mereka meneruskan budaya tersebut.
“Hartal Doktor Kontrak masih menerima aduan daripada doktor praktikal (houseman) yang mendakwa mereka masih dibuli oleh pegawai-pegawai atasan yang seperti tidak serik atau takut dengan amaran kerajaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, susulan perkembangan tersebut, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin disaran melibatkan semua pihak supaya aduan bukan hanya disampaikan kepada pihak Hartal Doktor Kontrak semata-mata sebaliknya terus kepada menteri sendiri.
“Aduan kes buli doktor junior masih sama tidak berkurang tetapi tidaklah meningkat. Jadi kami minta Yang Berhormat (YB) KJ inklusifkan semua orang, sebab kita tidak mahu aduan hanya sampai kepada kita sahaja, kami mahukan aduan itu turut disampaikan kepada Menteri.
“Beliau juga perlu libatkan golongan-golongan yang terkena atau terkesan disebabkan budaya buli ini. Bagaimana boleh buat satu kumpulan petugas khas tanpa melibatkan mereka yang menjadi kunci utama? Jadi ini nampak macam syok sendiri,” kata beliau.
Selain itu, kata Mustapha Kamal, pasukan khas itu juga perlu disertai serta oleh agensi-agensi lain seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mempunyai maklumat mengenai amalan kerja di hospital-hospital kerajaan.
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan pada 12 Mei lalu susulan seorang doktor pelatih lelaki di Hospital Pulau Pinang (HPP) ditemui maut selepas terjatuh menerusi tingkap di sebuah pangsapuri disewanya di Georgetown pada 17 April lalu.
Terbeban
Siasatan polis termasuk mengambil keterangan daripada rakan serumah mangsa mendakwa si mati sebelum menemui ajal pernah mengadu dia terbeban dengan tugas.
Kematian doktor muda itu kemudian merungkai dakwaan budaya buli di hospital kerajaan bagai sudah sebati dengan cara kerja mereka.
Susulan kritikan, aduan dan cadangan, Kementerian Kesihatan kini memberi masa dua bulan kepada pasukan khas itu untuk mencari kebenaran mengenai budaya buli dan mencari punca kematian doktor pelatih terbabit.
Sementara itu, seorang doktor yang berjaya menamatkan latihannya dan mahu dikenali sebagai Dr. Syahidul mengimbau semula bagaimana rakan setugasnya yang sama-sama menjalani latihan di sebuah hospital di utara mengalami gangguan seksual oleh doktor senior.
“Modus operandinya adalah dengan mengajak kawan saya ke sebuah bilik atas di hospital itu dengan alasan ingin mengajar bagaimana memeriksa badan pesakit tetapi menggunakan badan kawan saya.
“Pegawai perubatan itu menyentuh beberapa anggota badan kawan saya yang tidak sepatutnya,” katanya dengan memberitahu kejadian itu tidak dihebohkan. – UTUSAN










