Agong berkenan bendera peribadi dikibar separuh tiang

Pemergian Presiden UAE: Agong berkenan bendera peribadi dikibar separuh tiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya bendera peribadi baginda dikibarkan separuh tiang selama lima hari berturut-turut bermula hari ini di Istana Negara. 

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, ia sebagai tanda berkabung Seri Paduka Baginda atas pemergian Almarhum Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan ke Rahmatullah semalam. 

Kata beliau, Seri Paduka Baginda turut menitahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selama tiga hari bermula hari ini. 

“Bacaan Yasin dan tahlil ini adalah untuk dihadiahkan kepada Sheikh Khalifa. Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat bersama Baginda mendoakan agar roh Almarhum Sheikh Khalifa dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Sheikh Khalifa meninggal dunia pada usia 73 tahun selepas berehat lama akibat sakit. 

Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi esok untuk bersama-sama ketua-ketua negara dan kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sheikh Khalifa dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 16 Mei depan.

Menurut Ahmad Fadli, susulan kemangkatan Almarhum, Seri Paduka Baginda telah menghubungi (Putera Mahkota Abu Dhabi), Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi baginda kepada beliau dan seluruh keluarga.

“Seri Paduka Baginda dan Putera Mahkota Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Mohamed adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada tahun 1978 dan 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang.

“Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan dua hala yang rapat dan mesa di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin negara dan sesama rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya