KOTA BHARUL Peranti tablet percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan swasta dari golongan B40 melalui inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia dijangka diagihkan bermula Julai ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kira-kira 100,000 permohonan secara dalam talian diterima selepas dibuka bermula 15 April sehingga 15 Mei lalu untuk fasa pertama.
Katanya, kesemua permohonan itu sedang diteliti oleh jawatan kuasa di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai kementerian pelaksana bagi program inisiatif berkenaan.
“Sekiranya pembekal dapat membekalkan peranti tanpa sebarang masalah pada Mei, maka pada bulan Jun kita mula agihkan kepada pelajar yang berkelayakan. Tetapi ketika ini kita berdepan dengan masalah pengeluar tender dan ender baharu dibuka semula. Kita menjangkakan sebelum pertengahan Jun, pemilihan tender dapat diselesaikan.
“Selepas selesai semuanya kita jangkakan pada bulan Julai kita mula melakukan agihan kepada pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala, Peringat, di sini hari ini.
Annuar berkata, kementeriannya akan memperluas kelayakan dan golongan yang layak menerima peranti tablet percuma berkenaan.
Katanya, jika sebelum ini mereka yang menerima peranti itu hanya pelajar-pelajar IPTA dan swasta daripada golongan B40, namun pihaknya memperluaskannya kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) daripada golongan B40.
“Selain itu, pelajar di bawah institusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) juga dimasukkan dalam senarai pemohon yang layak sekiranya mereka daripada keluarga B40. – UTUSAN