BANGKOK: Walaupun Thailand dan Kemboja mencapai gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran berdarah di sempadan, ‘peperangan’ di ruang siber masih berterusan apabila laman web rasmi dicemari dengan kata-kata kesat serta digodam.
Konflik lima hari itu meragut lebih 40 nyawa dan memaksa lebih 300,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Ia juga mencetuskan gelombang maklumat palsu apabila penyokong Thailand dan Kemboja masing-masing berusaha mengukuhkan naratif pihak lawan adalah punca sebenar konflik.
Jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Huangsab berkata, pihak berkuasa merekodkan lebih 500 juta serangan dalam talian sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Serangan tersebut termasuk laporan spam ke platform dalam talian dan serangan penafian perkhidmatan (DDoS), yang menghentikan akses ke laman web dan membanjiri pelayarnya dengan trafik.
“Ia adalah perang psikologi. Terdapat banyak berita palsu dan ia tidak mengejutkan jika datang daripada media sosial.
“Bahkan, media rasmi Thailand sendiri turut menyiarkan banyak berita palsu,” kata jurucakap kerajaan Kemboja, Pen Bona kepada AFP.
Huangsab berkata, serangan dalam talian bertujuan untuk menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat Thailand, selain menyebarkan maklumat palsu secara terang-terangan.
Bona juga menuduh berita palsu dari Thailand bertujuan memecahbelahkan rakyat Kemboja.
Akaun bot turut dikesan menerbit dan menyebarkan maklumat mengelirukan, termasuk video serta imej serangan roket Kemboja ke atas stesen minyak di Thailand, namun dikongsi dengan kapsyen palsu kononnya insiden berlaku di wilayah Kemboja.
Terdapat juga hantaran lain, termasuk yang dikongsi oleh halaman rasmi Setiausaha Negara Kemboja, Vengsrun Kuoch, yang mendakwa tentera Thailand menggunakan senjata kimia.
Namun, foto dalam hantaran itu sebenarnya menunjukkan pesawat menjatuhkan bahan pencegah api semasa kebakaran hutan di Los Angeles pada Januari lepas.- AFP










