KUALA LUMPUR: Sebanyak 472 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang yang mengalami gangguan bekalan air semalam sudah pulih sepenuhnya pada pukul 8 pagi ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan, gangguan bekalan air tidak berjadual itu bermula petang semalam selepas pencemaran air dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.
Pencemaran tersebut mengakibatkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi. – UTUSAN