ALOR SETAR: Sebanyak 419 kes baharu penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) dicatat di Kedah pada minggu epidemiologi ke-19 (ME19) antara 8 hingga 14 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 317 kes atau 310 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya.
Katanya, satu kluster baharu HFMD turut dilaporkan melibatkan sebuah tadika di Yan.
“Kes-kes lain adalah bersifat sporadik atau dalam erti kata lain, tidak dapat dikesan kaitannya dengan kes-kes lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menambah, kebanyakan kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan hanya diberikan rawatan pesakit luar.
“Tiada kes yang dikesan mempunyai komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif. Dengan pertambahan ini, jumlah kes HFMD di Kedah hingga 14 Mei 2022 lalu secara keseluruhannya berjumlah 1,435.
“Berbanding sebelum kedatangan pandemik Covid-19, dalam tempoh yang sama pada 2019, negeri ini hanya mencatatkan sejumlah 720 kes HFMD. Itu bermakna berlaku peningkatan hampir sekali ganda kes HFMD di Kedah pada tahun ini berbanding 2019 atau 99.3 peratus,” katanya.
Tambahnya, kes tertinggi bagi tahun ini dicatatkan di daerah Kuala Muda iaitu sebanyak 290 kes atau 20.2 peratus diikuti Kota Setar yang mencatatkan sebanyak 235 kes atau 16.4 peratus.
“Dua lagi daerah yang mencatat kes tertinggi adalah Kubang Pasu sebanyak 229 kes atau 16 peratus dan Kulim yang mencatatkan 165 kes atau 11.5 peratus,” ujarnya.
Jelasnya, di sepanjang tahun ini, sebanyak 27 wabak HFMD dilaporkan di negeri ini dengan 26 atau 96.3 peratus daripadanya berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika serta pra-sekolah. – UTUSAN










