17 kemalangan, 2 kematian dicatat berdekatan lokasi nahas pelajar USAS - Utusan Malaysia

17 kemalangan, 2 kematian dicatat berdekatan lokasi nahas pelajar USAS

KEBARAKAN kereta dan treler muatan besi yang mengorbankan lima individu di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di Kuala Kangsar. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebanyak 17 kes kemalangan dengan dua kematian direkodkan antara Kilometer 231.4 hingga 257.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini, dalam tempoh setahun.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, nahas yang direkodkan dari Mac 2021 hingga Mac lalu itu juga mengakibatkan kecederaan kepada 11 mangsa.

“Daripada 17 kemalangan itu, 11 kes melibatkan kenderaan berat iaitu lori atau treler, sama ada membabitkan kemalangan biasa ekoran terbabas atau terbakar.

“Kemalangan yang dilaporkan itu juga membabitkan kereta dan motosikal. Dua kematian yang dilaporkan dalam tempoh itu melibatkan pemandu lori,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar akan memberi respons awal bagi setiap insiden di lokasi berkenaan sebelum dibantu BBP berhampiran.

Bagaimanapun katanya, ketiadaan akses mudah untuk ke lokasi kejadian menyebabkan jentera bomba terpaksa membuat pusingan U sebelum Terowong Menora pada jarak lebih kurang 24 kilometer.

“Kita juga menghadapi kesukaran dari segi kesesakan di mana ia menjadi antara faktor melambatkan usaha untuk jentera tiba awal di lokasi nahas selain kekurangan sumber air terbuka dan ketiadaan pili bomba di kawasan kejadian,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.52 tengah malam di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Mangsa terlibat, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN