SEREMBAN: Seramai 10 lelaki ditahan polis awal pagi ini dipercayai terlibat dengan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri yang mana video perbuatan itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kesemua suspek berusia 19 tahun hingga 42 tahun itu ditahan pada pukul 4.40 pagi di sekitar daerah ini.
“Seramai 10 lelaki yang ditahan itu kini berada di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk permohonan reman pagi ini dan siasatan lanjut masih diteruskan. Turut dirampas sejumlah besar bunga api dan mercun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, tular video dalam media sosial Facebook memaparkan kejadian sekumpulan lelaki melakukan gaduh gempar menggunakan bunga api sesama sendiri.
Nanda berkata, berdasarkan siasatan kejadian tersebut berlaku pada tengah malam 2 Mei lalu di Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang, di sini.
Video tular dengan latar belakang lagu raya itu mendapat pelbagai reaksi netizen. – UTUSAN