Cili Kampung perkukuh kepercayaan pelanggan

Cili Kampung perkukuh kepercayaan pelanggan

KHAIRUL ANWAR ABDUL AZEEZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama makanan tempatan berkonsepkan masakan tradisional, Cili Kampung Malaysia terus memperkukuh kedudukannya apabila berjaya memperoleh pensijilan halal bagi beberapa cawangannya, sekali gus meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama tersebut.

Pengarahnya, Khairul Anwar Abdul Azeez berkata, pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan piawaian, sebaliknya menjadi asas penting dalam membina kepercayaan serta memastikan setiap hidangan yang disajikan memenuhi standard yang ditetapkan.

Menurut beliau, Cili Kampung yang diasaskan pada 2016 di Langkawi, Kedah bermula dengan matlamat untuk mengekalkan keaslian masakan kampung yang semakin dilupakan, sebelum berkembang menjadi jenama yang membawa pengalaman makanan tradisional ke dalam persekitaran moden.

“Sejak awal, kami mahu menghidupkan semula rasa masakan kampung yang penuh nostalgia dan dekat dengan identiti rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar makanan, tetapi juga cerita tentang warisan dan tradisi yang ingin kami kekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai proses mendapatkan pensijilan halal, beliau berkata, peralihan daripada konsep masakan gaya rumah kepada operasi dapur komersial berskala besar memerlukan penyesuaian menyeluruh termasuk dari segi rantaian bekalan, pemilihan bahan mentah serta prosedur penyediaan makanan.

Katanya, syarikat turut melabur dalam latihan kakitangan bagi memastikan setiap proses pengendalian, penyimpanan dan penyediaan makanan mematuhi garis panduan halal yang ketat.

“Kami juga menubuhkan pasukan dalaman khusus bagi memantau pematuhan halal secara berterusan, selain bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan operasi kami selaras dengan piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Cili Kampung memperoleh pensijilan halal pertama bagi cawangannya di Hartamas pada 2024, sebelum memperluaskan pensijilan tersebut ke beberapa lokasi lain termasuk di KLCC, Alamanda, Pulau Pinang dan 1 Utama pada tahun berikutnya.

Terbaharu, cawangan di Sunway turut berjaya memperoleh pengiktirafan sama.

Menurut Khairul Anwar, pensijilan tersebut bukan sahaja mencerminkan pematuhan kepada standard, malah menjadi simbol komitmen jenama terhadap integriti, ketelusan dan kualiti yang konsisten.

Dalam konteks industri makanan tempatan, beliau berkata, pensijilan halal memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan pelanggan, khususnya dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN