TELUK INTAN: Jualan air kelapa muda meningkat ketara sewaktu musim panas ketika ini apabila minuman itu menjadi pilihan orang ramai bagi menghilangkan dahaga.
Seorang penjual air kelapa muda di sini, Mohamad Roslan Ishak, 53, berkata, perniagaannya di tengah bandar Teluk Intan kini mendapat sambutan menggalakkan berbanding hari biasa.
Menurutnya, sebelum ini pelanggan membeli sebiji kelapa sahaja namun kini ada yang membeli sehingga dua atau tiga biji sekali gus.
“Pelanggan beritahu, minum sebiji tidak mencukupi untuk menghilangkan dahaga kerana cuaca terlalu panas ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamad Roslan berkata, dia berniaga dari pukul 10 pagi hingga petang setiap hari dan mampu menjual sehingga 500 biji kelapa muda sehari sepanjang musim panas.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding sekitar 300 biji sehari pada hari biasa.
“Cuaca panas sudah dirasai sejak tiga bulan lalu menyebabkan saya terpaksa menambah bekalan kelapa bagi memenuhi permintaan yang meningkat.
“Tambahan pula ketika cuti Hari Raya, ramai perantau pulang ke kampung dan singgah ke bandar untuk membeli keperluan, sekali gus membantu meningkatkan jualan,” katanya.
Katanya, bekalan kelapa muda mudah diperoleh di daerah Hilir Perak selain turut menanam sendiri pokok kelapa pandan di sekitar rumahnya di Kampung Sungai Suli, Kampung Bahagia.
“Jika bekalan tidak mencukupi, saya mendapatkan kelapa dari kawasan lain.
“Cuaca sekarang memang panas terik sehingga saya dan pekerja perlu minum secukupnya ketika berniaga walaupun menggunakan payung dan pondok jualan,” katanya.- UTUSAN











