JASIN: Pergerakan Wanita UMNO mempertahankan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menjadi kekuatan parti itu dan Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, tiada sebab kedua-dua tokoh itu perlu disisihkan atau bersara ketika kebangkitan semula parti selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.
Menurutnya, Ahmad Zahid dan Najib juga dilihat bukan beban buat parti untuk menghadapi PRU-15, sebaliknya menjadi suntikan semangat kepada jentera seluruh negara.
“Ramai pihak terutama pembangkang tidak senang hati melihat kedua-dua pemimpin UMNO ini sentiasa berada di hadapan pada PRN Melaka dan Johor hingga berjaya menarik minat rakyat keseluruhannya.
“Baik Ahmad Zahid atau Najib, kedua-dua mereka ini ada pengaruh dalam kalangan rakyat yang mana kehadiran mereka berjaya mendapat, meraih undi dan ini sebenarnya ditakuti oleh pembangkang.
“Bagi Wanita UMNO sendiri serta seluruh kepemimpinan di peringkat cawangan dan bahagian tidak sama sekali akan menyisihkan kedua-dua tokoh tersebut,” katanya selepas menghadiri Program Indahnya Barakah Ramadan di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban di sini semalam.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu sama sekali tidak akan menyisihkan Ahmad Zahid bagi menghadapi PRU-15 kerana beliau belum didapati bersalah oleh mahkamah.
Katanya, perkara sama juga ditetapkan kepada Najib yang masih belum selesai proses rayuannya.
Dalam pada itu, Norshida menambah, kedua-duanya banyak membantu menaikkan semula UMNO terutama selepas BN tewas mengejut pada PRU-14.
“Siapa kata mereka ini membebankan parti dan perlu bersara itu adalah kenyataan yang sengaja diada-adakan untuk melemahkan parti.
“Wanita UMNO menyeru semua jentera parti berdiri teguh kepada kepemimpinan sedia ada dan tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah cuba memesongkan tumpuan menghadapi PRU-15,” tegasnya. – UTUSAN










