Wabak ASF: JPVNS lupus 273 ekor babi 13 April ini

Wabak ASF: JPVNS lupus 273 ekor babi 13 April ini

KAKITANGAN JPVNS mengawal sebuah ladang babi yang dijangkiti wabak ASF di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak Demam Babi Afrika (ASF) di ladang di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini, akan dilupuskan pada 13 April ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, pelupusan haiwan tersebutmenggunakan kaedah sama yang digunakan ketika proses pelupusan babi yang dijangkiti wabak tersebut di Melaka dan Perak sebelum ini.

“Pemusnahan babi itu juga menggunakan kaedah gas CO2 (berkepekatan tinggi) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan-Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna. Sebanyak 273 ekor babi akan dilupuskan telah disahkan positif ASF di ladang haram tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Task Force Tindakan Kawalan wabak African Swine Fever (ASF), di sini hari ini. 

Kelmarin, media melaporkan Negeri Sembilan mencatatkan kes pertama wabak ASF apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini.

Dua kes positif itu disahkan menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan, Dr. Redzuan Ibrahim berkata, operasi pelupusan babi berkenaan membabitkan kakitangannya dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan lain.

“Kami akan melupuskan haiwan tersebut di ladang berkenaan menggunakan kaedah gas CO2 dan ditanam ke sebuah kawasan lain dalam jarak enam kilometer dari ladang. 

“Ia dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk pakaian peralatan perlindungan diri (PPE). Setiap lubang akan memuatkan sekitar 250 hingga 300 ekor babi dengan kedalaman lubang sebanyak 12.1 meter bagi mengelakkan pencemaran bau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Redzuan menjelaskan, sebanyak 19 buah ladang babi haram yang berdekatan juga mempunyai kebolehjangkitan tinggi untuk mendapat jangkitan wabak tersebut. 

“Sebanyak 19 buah ladang berdekatan yang jaraknya sejauh 200 meter dari ladang yang sudah dijangkiti. Oleh itu, kebolehjangkitan yang tinggi untuk ladang berdekatan untuk mendapat wabak adalah sangat tinggi. 

“Saya menjangkakan dalam seminggu lagi berkemungkinan akan ada jangkitan di ladang lain. Dianggarkan lebih 2,000 ekor babi melibatkan 19 buah ladang haram berada di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN