PBB digesa bertindak segera terhadap Israel

PBB, badan asasi antarabangsa digesa bertindak segera terhadap Israel

Kanak-kanak bermain-main di luar khemah pelarian perang yang dibina oleh kerajaan Qatar di kawasan penempatan Bandar Hamad yang musnah di selatan Gaza, Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan ganas, kejam dan tidak berperikemanusiaan tentera rejim Zionis terhadap para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk dalam kalangan wanita perlu diberi perhatian serius oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan hak asasi manusia antarabangsa.

Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Husna Hashim berkata, tindakan biadab seperti menarik tudung dipakai oleh aktivis wanita Muslim serta melakukan kekasaran fizikal seperti me­numbuk, menendang dan mengasari mereka adalah satu pencabulan hak asasi manusia yang melampaui batas dan tidak boleh diterima sama sekali.

​Katanya, perlakuan kejam seperti itu bukan sahaja satu bentuk serangan fizikal, tetapi juga satu penghinaan terhadap maruah wanita dan sensitiviti agama.

“​Dewan Muslimat Pas negeri mengecam sekeras-kerasnya dan menzahirkan rasa marah atas perlakuan zalim rejim Zionis itu. Layanan kejam yang diterima oleh para sukarelawan, terutama wanita-wanita berjiwa kental yang menyertai misi flotilla ini dengan niat murni menyampaikan bantuan, amat dikesali.

“Perbuatan menyerang dan mencederakan aktivis wanita yang tidak bersenjata ini hanya menunjukkan betapa bacul dan hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri tentera rejim Zionis. Dunia tidak boleh lagi berdiam diri melihat kezaliman seperti ini berterusan.

HUSNA HASHIM

“Penahanan kapal-kapal bantuan di perairan antarabangsa dan perlakuan ganas terhadap aktivis di atas kapal adalah satu jenayah di bawah undang-undang maritim dan antarabangsa. Ia juga merupakan satu lagi bukti corak keganasan sistematik diamalkan Israel,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat Pas negeri juga menggesa kerajaan Malaysia untuk menyatakan bantahan keras kepada Israel melalui semua saluran diplomatik yang ada dan menuntut jaminan keselamatan ke atas aktivis.

Kata Husna, PBB dan badan-badan hak asasi manusia antarabangsa juga perlu segera menjalankan siasatan bebas terhadap keganasan ini dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Masyarakat antarabangsa perlu membuka mata terhadap kebiadaban rejim Zionis dan meningkatkan tekanan bagi menamatkan kepungan haram ke atas Gaza.

“Selain itu, kerajaan Malaysia juga perlu menghalang kehadi­ran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sebagai tanda protes terhadap sokongan berterusan pentadbirannya kepada rejim Zionis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN