Pelan damai Trump beri ‘nafas baharu’ penjajahan Israel

Pelan damai Trump beri ‘nafas baharu’ penjajahan Israel

MOHD. AZAMI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia digesa menolak pelan damai Presi­den Amerika, Donald Trump yang disifatkan sebagai projek politik yang memberikan ‘nafas baharu’ kepada penjajahan Israel ke atas bumi Palestin.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pelan tersebut bukanlah pelan damai sebenar, sebaliknya ia helah kepada rejim Zionis untuk terus memperkukuh cengkaman terhadap Palestin.

Katanya, Malaysia perlu berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan hak asasi rakyat Palestin, bukan menerima inisiatif yang gagal menyentuh akar sebenar konflik.

“Malaysia perlu menolak sebarang bentuk normalisasi dengan rejim Zionis. Selain itu, Malaysia perlu menegaskan hak penentuan nasib sendiri rakyat Palestin, termasuk hak untuk pulang dan menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Malaysia juga harus menggesa supaya Israel dipertanggungjawabkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang dan ge­nosid yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan genosid di Semenanjung Gaza masuk tahun kedua dengan lebih 80,000 korban dan kadar kemusnahan mencapai 90 peratus.

Laporan Pejabat Media Gaza berkata, jumlah keseluruhan rakyat Gaza dan orang hilang kini mencapai 76,639 orang dan 9,500 hilang dengan ramai lagi dikhuatiri terkubur di bawah runtuhan.

Mohd. Azmi berkata, pelan tersebut hanya berperanan mengukuhkan lagi pendudukan haram Israel selain tidak menyentuh isu utama iaitu pembersihan etnik dan pelanggaran hak asasi rakyat Palestin yang berlaku secara sistematik.

Beliau berkata, Malaysia per­lu menyokong perjuangan pembebasan sepenuhnya rak­yat Palestin bukan sekadar menerima penyelesaian sementara.

Dalam pada itu, katanya, perkara utama yang diperlukan rakyat Palestin ketika ini bukanlah pembangunan semula fizikal Gaza semata-mata sebaliknya penamatan segera genosid dan pendudukan ha­ram Israel.

“Gaza tidak boleh dibangunkan semula di atas puing-puing kezaliman yang masih berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN