GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan EcoWaste Coalition dari Filipina menggesa pihak berkuasa serta pengendali platform e-dagang segera memadam semua penyenaraian produk plaster tradisional Cina yang diharamkan selepas ia dikesan mengandungi paras logam berat berbahaya seperti plumbum dan merkuri.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menzahirkan rasa kesal apabila produk dari Cina iaitu ‘Chang-Sze-Long Badu Gao’ masih dijual secara dalam talian walaupun telah diharamkan oleh pihak berkuasa kesihatan di Malaysia.
“Produk ini sepatutnya tidak lagi berada di pasaran selepas Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan pendaftarannya pada 12 Ogos lalu kerana mengandungi paras merkuri melebihi had dibenarkan.
“Produk ini telah ditarik balik dari pasaran dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual atau diedarkan di Malaysia,” katanya di sini semalam.
Mohideen berkata, sehubungan itu, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membeli produk kesihatan, terutama yang dijual di platform e-dagang.
Sementara itu, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition, Aileen Lucero mendedahkan bahawa pihaknya masih berjaya membeli Chang-Sze-Long Badu Gao daripada penjual berpangkalan di Malaysia melalui Shopee Filipina.
Katanya, situasi itu membuktikan keperluan memperkukuh kerjasama dua hala serta penguatkuasaan bersama bagi membanteras penjualan produk berbahaya di platform e-dagang antarabangsa. – UTUSAN










