Tujuh beradik lega tidak pindah

Tujuh beradik lega tidak pindah

MOHD. Firdaus Othman (kiri) berbincang dengan tujuh beradik yatim piatu di Taman Sri Bahagia di Teluk Intan, Perak semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tujuh beradik yatim piatu di sini tidak dipindahkan ke rumah anak yatim di Tanjung Tualang seperti yang dicadangkan, sebaliknya mereka tinggal bersama ibu saudara mereka di sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak, Mohd. Firdaus Othman berkata, ini berikutan rayuan daripada tujuh beradik itu yang mahu tinggal di sini supaya dekat dengan kubur ibu dan bapa mereka.

Katanya, pihaknya akan memantau keadaan tujuh beradik itu dan memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya selain tidak tercicir dari segi pelajaran.

“Kami menggalakkan waris atau keluarga terdekat menjaga mereka supaya kehidupan lebih selesa. JKM hanya menjaga jika tidak ada waris yang layak atau yang sanggup.

“Dalam kes tujuh beradik ini, mereka dibenarkan tinggal bersama emak saudara mereka dan JKM membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan jika berlaku pengabaian, JKM menarik semula hak penjagaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Akhbar ini semalam menyiarkan laporan mengenai tujuh beradik yatim piatu yang keberatan ditempatkan oleh JKM di Rumah Anak Yatim Soleha Tanjung Tualang.

Tujuh beradik itu terdiri daripada Nurallesyah Balqis Mohd. Azman, 18, yang menjaga enam adiknya iaitu Nur Alleyana Darwina, 15; Nurallesyazwani Sofea, 13; Nurallyqalesyah Damia, 11; Nurallyfarisyah Najwa, 9; Nurallyshafirah Umairah, 7, dan adik bongsunya, Muhammad Harraz Erfan berusia lima tahun.

Bapa tujuh beradik itu, Mohd. Azman Tabri, 42, meninggal dunia pada 2019 dan pada Jun lalu, ibu mereka, Noor Suidah Omar, 43, pula meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

Mereka tidak mahu dipindahkan ke rumah anak yatim sebaliknya mahu tinggal dengan emak saudara mereka di Taman Sri Bahagia di sini supaya lebih mudah menziarah kubur emak di Sungai Suli Kampung Bahagia dan kubur bapa mereka di Parit 1 Sungai Manik.

Tujuh beradik itu kini tinggal dan dijaga emak saudara mereka bernama Nazlina Omar di sebuah rumah yang disewa di Taman Sri Bahagia, di sini.

Sementara itu, Nurallesyah Balqis bersyukur kerana dia dan adik-adiknya tidak ditempatkan di rumah anak yatim.

“Sejak diberitahu oleh JKM kami kena tinggal di rumah anak yatim, kami tidak rasa tenang kerana jauh dari kubur bapa kami.

“Namun dengan keputusan yang dibuat oleh JKM ini, kami rasa sangat gembira dan bersyukur. Pada hari raya pertama nanti, kami nak ziarah kubur ibu dan bapa kami,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN