PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia sepakat memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rumpun buat negara-negara ASEAN.
Menerusi sebuah posting di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, dalam lawatan kerjanya ke Indonesia, beliau membincangkan perkara itu bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo.
“Indonesia turut sepakat dengan Malaysia untuk memperkasa bahasa Melayu yang merupakan bahasa serumpun termasuk menggunakannya di setiap persidangan antarabangsa. Jika kita bekerjasama, bahasa rumpun Melayu ini boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.
“Syukur, lawatan kerja ini memberikan manfaat yang besar kepada Malaysia dan Indonesia. Semoga hubungan dua buah negara yang bersaudara ini terus kukuh,” katanya.
Dalam lawatan yang sama, kedua-dua pemimpin itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia’ di Istana Merdeka, Jakarta.
Pemeteraian MoU itu akan merintis kepada kemasukan semula Tenaga Kerja Indonesia (TKI) untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan di Malaysia menerusi hanya satu saluran tunggal.
Menurut Ismail Sabri, beliau juga mengadakan perbincangan mengenai potensi pelaburan Malaysia di Kalimantan Timur, dengan pembukaan ibu negara Nusantara.
“Kami bersetuju pembangunan di kawasan sempadan akan diperhebat termasuk kawasan-kawasan yang akan dikenal pasti untuk dimajukan oleh pelabur dari Malaysia.
“Malaysia dan Indonesia, sebagai pengeksport utama minyak kelapa sawit dunia bersepakat bahawa harga minyak kelapa sawit patut ditentukan secara bersama dan bukan bersaing sesama sendiri,” katanya. – UTUSAN