PETALING JAYA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berpegang teguh dengan pendirian bahawa laluan matrikulasi merupakan salah satu saluran yang terbukti berkesan dalam proses penyuburan laluan pendidikan tinggi dalam negara.
Perkara ini telah direalisasikan berkesan lebih daripada berdekad lamanya sebagai salah satu laluan elit di samping laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Program Asasi yang sah dan setara serta bermutu dalam menyediakan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
Sistem matrikulasi juga terus menjadi wadah dan platform sebagai akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
Sistem kemasukan UPU turut dilaksanakan secara meritrokrasi dengan pendekatan holistik yang menilai pelajar bukan hanya melalui pencapaian akademik, namun turut mengambil kira penglibatan kokurikulum serta latar belakang sosioekonomi keluarga mereka.
Pendekatan adalah untuk memastikan akses yang adil dan seimbang kepada pendidikan tinggi bagi semua lapisan masyarakat.
Sistem ini seiringan dengan aspirasi dan rangkaian usaha berterusan kerajaan untuk memastikan segenap peluang pendidikan terus bernafas inklusif, adil dan terus berintegrasi tinggi. – UTUSAN










