Tindakan segera perlu diambil atasi ancaman ekosistem

Tindakan segera perlu diambil atasi ancaman ekosistem

TENGKU HASANAL IBRAHIM ALAM SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan segera perlu diambil di setiap peringkat bagi menangani masalah kehilangan sumber kepelbagaian biodiversiti, perubahan iklim dan ketandusan tanah negara. 

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, perancangan jangka panjang perlu dilaksanakan bermula di akar umbi dan semua pihak perlu memainkan peranan bersama-sama, bukan sebagai pemerhati sahaja.

Titah baginda, semua pihak perlu melakukan perubahan bukan sahaja daripada segi minda, malah dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan bumi ini dapat dilestarikan sebaik-baiknya.

“Sejak 1970, masyarakat dunia meraikan Hari Bumi pada 22 April setiap tahun, khususnya untuk mempromosikan serta mendorong kesedaran dan tindakan global melestarikan alam sekitar.

“Tujuannya adalah untuk mempelbagaikan, mendidik dan memacu gerakan kelestarian alam sekitar di seluruh dunia.

“Bumi kita ini memerlukan perubahan yang bersifat transformasi. Biarpun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meluas berlaku secara dramatik sejak lima dekad lalu, namun kegiatan manusia terus berleluasa sehingga merosakkan jaringan hidup yang menjadi pergantungan kita untuk mendapatkan sumber makanan, sumber air, udara bersih dan sebagainya,” titah baginda dalam kenyataan di sini. 

Tengku Hasanal bertitah, berdasarkan penilaian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2019, dianggarkan 60 peratus perkhidmatan ekosistem semula jadi semakin terancam dengan ketara, yang mana ancaman kepupusan sejuta spesies flora dan fauna akan berlaku menjelang 2050.

“Sebahagian besar generasi sezaman saya belum lahir lagi ketika Persidangan Kemuncak Bumi diadakan pada 1992 di Rio de Janeiro, yang mana UN Convention on Eiologlcal Divercity (CBD) ditandatangani oleh hampir semua negara anggota PBB. Objektif utamanya adalah untuk memulihara kepelbagaian biodiversiti, penggunaan komponen yang lebih lestari untuk memanfaatkan sumber genetik secara bersama.

“Kerangka untuk tindakan dan matlamat dalam jangka masa sedekad bagi menangani kepupusan kepelbagaian biodiversiti telah dilaksanakan, dan terkini adalah menerusi Aichi Biodiversity Targets (2011-2020). Hakikatnya, biarpun sebahagian negara berjaya mencapai satu atau lebih daripada 20 sasaran yang ditetapkan, namun tidak ada sasaran yang dipenuhi sepenuhnya secara kolektif pada 2020,” titah baginda.

Titah baginda lagi, pada tahun ini, komuniti antarabangsa sedang merangka sasaran dekad yang baharu menerusi UN Global Biodiversity Framework Yang menetapkan pelan besar meliputi tindakan mentransformasikan masyarakat menyantuni alam sekitar.

Rundingan itu titah Tengku Hasanal bermula pada Jun ini di Nairobi, Kenya untuk diadaptasikan dalam persidangan di Kunming, China pada September ini.

“Elizabeth Maruma Mrema, tokoh dari Tanzania yang mengetuai konvensyen PBB yang mengendalikan proses rundingan tersebut mengatakan bahawa kita berada di persimpangan jalan bagi menentukan generasi masa depan terhadap alam semula jadi pada 18 bulan lalu.

“Mrema berkata, sistem kehidupan di bumi secara keseluruhan telah dinodai dan semakin banyak manusia mengeksploitasi alam semula jadi dengan cara yang tidak mampan serta menjejaskan sumbangannya kepada manusia, kita semakin menjejaskan kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran kita sendiri,” titah baginda. 

Baginda juga bertitah, laporan terkini daripada Panel Antara Kerajaan Pertububan Bangsa bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) tahun ini menegaskan kembali bahawa perubahan iklim telah mengakibatkan kejadian ribut, banjir, kemarau, kebakaran hutan dan keadaan cuaca ekstrem yang melampau akan berlaku dengan lebih kerap dan lebih teruk.

“Pelepasan gas-gas rumah hijau (GHG) terus meningkat, dan komitmen sedia ada tidak berkesan untuk menangani perubahan iklim di bawah 1.soc berbanding dengan tahap sebelum era perindustrian, suatu tahap yang dijangkakan oleh ahli sains untuk mengelakkan bencana lebih teruk.

“Perkara yang amat membimbangkan ialah negara-negara kaya terus melepaskan GHG jauh lebih tinggi berbanding dengan negara-negara membangun tetapi negara-negara rnembangun pula yang mengalami kesan perubahan iklim paling teruk.

“Saya melihat sendiri banjir besar yang melanda negeri saya negeri Pahang pada bulan Disember 2021 dan bulan Januari 2022 dengan anggaran kematian dan kehilangan harta benda yang amat mendukacitakan. Di negara kita, lebih 125,000 penduduk terpaksa dipindahkan dengan 54 kematian, antara angka kematian akibat banjir yang paling ramai di negara setakat ini. Dianggarkan lebih RM20 billion kerugian di seluruh negara,” titah baginda. 

Titah baginda lagi, pandemik Covid-19 disebabkan virus daripada ekosistem semula jadi yang masuk ke ekosistem baharu sehingga menjangkiti tubuh manusia merupakan iktibar penting akibat alam semula jadi yang diterokai sewenang-wenangnya. Pemulihan sosioekonomi Covid 19 tidak akan lengkap jika kita masih gagal meletakkan keutamaan pada kesihatan planet.

“Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, baru-baru ini menegaskan bahawa harapan dunia terletak pada bahu orang muda. Inilah tanggungjawab besar yang tiada pilihan lain untuk kita selain menerimanya. Tugas utama kita adalah memastikan bumi ini berada pada trajektori yang betul untuk masa depan yang lebih baik. 

“Kerajaan, institusi perniagaan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan, dan setiap warganegara perlu tampil untuk memulihkan kerosakan alam semula jadi dan perubahan iklim.

“Ayuh, anak-anak muda sekalian! Marilah kita bersama-sama menggalas tanggungjawab dengan bertindak segera. Kita boleh memacu perubahan secara kolektif dan mengawal masa depan kita sendiri,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN