Tiga lelaki menyamar polis ditahan

Tiga lelaki menyamar polis ditahan

RAHIMI RA'AIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah dengan menyamar polis dan bertindak mencederakan serta menyamun mangsa ditahan polis di Bayan Lepas, Rabu lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 1 petang itu, suspek lelaki berusia 24 hingga 30-an itu ditahan secara berasingan bermula selepas seorang lelaki yang menjadi mangsa jenayah mereka membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, sepasukan polis dari Bahagian (Siasatan Khas) D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang berjaya mengesan dan menangkap seorang suspek berusia 24 tahun di kawasan Bayan Lepas.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada dua lagi tangkapan rakan jenayah yang terlibat dan membuat rampasan seperti dua unit telefon bimbit, satu unit beg, satu paket dadah jenis syabu dan sekeping kad ATM Bank,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Datuk Keramat di sini, mendakwa dia didatangi dua lelaki yang mengaku sebagai anggota polis pukul 11.30 malam 31 Mac lalu.

“Mangsa kemudian dibawa kawasan gelap di bahagian belakang kedai tersebut. 

“Dua lelaki itu kemudiannya bertindak menumbuk perut mangsa sebelum memaksanya menyerahkan duit dengan cara pemindahan wang secara dalam talian sebanyak RM1,000 ke satu akaun bank yang diarahkan suspek,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar barang dan penganggur mempunyai dua hingga 10 pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Tiga suspek ini turut positif dadah dan kini direman sehingga 19 April ini bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 395 serta 170 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya menyamar sebagai seorang penjawat awam kerana merupakan satu kesalahan undang-undang. 

“Lebih malang lagi menyamar dan melakukan jenayah yang akan mengakibatkan imej dan keyakinan masyarakat kepada agensi penguat kuasa terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN