PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis dipercayai terlibat sindiket perjudian online dalam serbuan di sebuah kondominium di Desa Petaling di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 5.45 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, tangkapan terdiri daripada dua lelaki dan wanita tempatan berusia antara 18 hingga 22 tahun.
Katanya, siasatan mendapati, kesemua mereka telah bergiat aktif dalam sindiket tersebut sejak Disember lalu.
“Turut dirampas, dua komputer riba, satu monitor komputer, tiga telefon bimbit dan satu modem dipercayai digunakan dalam sindiket itu.
“Kesemua suspek direman sehingga 14 April untuk disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Polis turut menasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat jenayah atau aktiviti mencurigakan untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599, WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111 222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – UTUSAN