KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak pernah mengambil inisiatif sendiri untuk memeriksa mengenai kesahihan dua syarikat Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan Aabar Investments PJS Ltd (Seychelles) yang dikatakan palsu.
Tambahnya, beliau juga tidak pernah mendapat sebarang arahan untuk berbuat demikian walaupun daripada Lembaga Penasihat yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tambahnya, tiada siapa juga yang menyedari mahupun menimbulkan isu alamat operasi syarikat Aabar BVI dan Aabar Seychelles dengan Aabar Investments PJS (syarikat sebenar).
Aabar BVI dan Aabar Seychelles ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dan sekutunya bagi membayangi identiti syarikat sebenar, iaitu Aabar Investments PJS yang ditubuhkan di Abu Dhabi dan merupakan subsidiari kepada International PetroIeum Investment Company (IPIC).
“Semua melihat dokumen (perjanjian usahasama) yang sama. CEO (Ketua Pengarah Eksekutif), COO (Ketua Pegawai Operasi), saya semua melihat dokumen yang sama dan tiada siapa pun yang menimbulkan kelainan tersebut. Kami (1MDB) ada peguam, pegawai bank, pegawai, ada 30 ke 40 pasang mata melihat dokumen yang sama tetapi tiada siapa pun yang menyedarinya,” kata Azmi.
Jelas Azmi yang merupakan saksi pendakwaan ke-12,, dia hanya menyedari kewujudan Aabar ‘asli’ dan Aabar ‘palsu’ sewaktu siasatan penyelewengan dana 1MDB dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed dalam perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Selain itu, Azmi turut menyatakan beliau mengikut arahan yang diberikan oleh timbalannya, Terence Geh kerana percaya bahawa arahan tersebut datang daripada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan Najib.
Wan Aizuddin: Jadi sebagai CFO (Ketua Pegawai Kewangan) awak akan ikut apa sahaja cakap timbalan awak?
Azmi: Sekiranya ia datang daripada Jho Low yang saya percaya ia (arahan) daripada Najib yang disampaikan melalui Terence, ya, saya akan ikut.
Pada prosiding terdahulu, mahkamah telah diberitahu bahawa 1MDB telah memperoleh pinjaman sebanyak AS$975 juta daripada Deutsche Bank AG tetapi ia tidak pernah digunakan untuk tujuan asalnya iaitu pembelian balik opsyen Aabar.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah AS$175 juta telah disalurkan kepada Aabar BVI manakala AS$681 juta didepositkan ke akaun Aabar Seychelles pada September 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu ini. – UTUSAN