Tiada kenaikan harga ayam di Negeri Sembilan

Tiada kenaikan harga ayam di Negeri Sembilan

AIN Arjuna Aziz Zaman (kanan) memeriksa tanda harga sempena Op Pantau di Bazar Ramadan Sendayan Metropark, Bandar Seri Sendayan, Seremban hari ini.- FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada kenaikan harga ayam segar dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan ketika ini malah peniaga juga didapati patuh dengan menjual pada harga yang ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, hasil pemantauan anggota penguatkuasanya juga mendapati tidak berlaku sebarang kenaikan bagi harga bahan makanan tersebut.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan mengenai harga ayam hasil pemantauan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa. 

“Bagaimanapun, sekiranya pihak pengguna atau peniaga mempunyai maklumat mengenai kenaikan harga atau bekalan ayam terputus di mana-mana kawasan, mereka boleh segera hubungi pihak kami.

“Saya juga mahu menggalakkan pengguna untuk menggunakan aplikasi Price Catcher untuk menyemak harga barang keperluan yang dikemas kini oleh pihak KPDNHEP setiap hari,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Op Pantau di Bazar Ramadan, Sendayan Metropark, Bandar Sri Sendayan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ain Arjuna memberitahu, bekalan ayam dan telur ayam di Negeri Sembilan masih mencukupi bagi menampung permintaan daripada orang ramai terutama ketika Ramadan hingga Syawal nanti.

Katanya, ia berdasarkan pemantauan pihaknya di premis perniagaan dan tiada sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan itu diterima setakat ini.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan supaya setiap peniaga bazar Ramadan untuk meletakkan tanda harga yang jelas pada makanan dan minuman yang dijual mereka. 

“Saya mahu menasihatkan semua peniaga agar meletakkan tanda harga makanan dan minuman yang dijual dengan jelas setiap hari. Sekiranya ada tanda harga yang hilang atau tertanggal mereka perlu meletakkan semula agar pengguna dapat melihat harga sebelum membayar makanan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN