Teman lelaki lega Alexia ditemukan selamat

Teman lelaki lega Alexia ditemukan selamat

AHLI keluarga dan rakan kepada penyelam yang hilang berada di pekarangan hospital setelah dua lagi mangsa ditemukan selamat dan menerima rawatan di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang, Johor. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Penemuan dua lagi penyelam Eropah yang hilang ketika melakukan latihan selam skuba berhampiran Pulau Tokong Sanggol di Mersing, dekat sini melegakan teman lelaki salah seorang mangsa.

Lelaki warga Eropah yang enggan namanya disiarkan itu berkata, dia gembira sebaik sahaja diberitahu Alexia Alexandra Molina, 18, diselamatkan nelayan ketika hanyut di perairan Selatan Pengerang, dekat Kota Tinggi.

“Sebaik sahaja mendapat berita Alexia dijumpai dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, saya terus ke Pasir Gudang untuk bertemu dengannya.

“Alexia kini berada dalam keadaan stabil, namun doktor menempatkan dia bersama seorang lagi rakan penyelam di unit rawatan rapi (ICU) bagi memantau keadaan mereka,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ Pasir Gudang, di sini.

Kira-kira pukul 1 pagi ini, Alexia bersama warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46, ditemukan selamat oleh nelayan yang sedang menangkap ikan di kedudukan 67 batu nautika Tenggara Pulau Tokong Sanggol.

Penemuan itu menjadikan tiga penyelam termasuk jurulatih mereka, Kristine Grodem, 35, selamat, namun seorang lagi remaja Belanda, Nathen Renze Chesters , 14, yang juga anak kepada Adrian meninggal dunia.

Perkara itu disahkan oleh bapanya, Adrian yang diselamatkan nelayan Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, remaja berkenaan meninggal dunia akibat tidak dapat bertahan.

“Seorang remaja lelaki yang belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya (Adrian) akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan,” katanya.

Sehubungan itu, Nurul Hizam berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari Nathan yang dipercayai telah hanyut ke perairan negara itu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sambil diiringi Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat melawat kedua-dua mangsa di hospital tersebut mengumumkan kerajaan negeri akan membiayai kos rawatan mereka bagi meringankan bebanan ditanggung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN