konflik Israel

Tekad cari penyelesaian konflik Israel-Palestin

Anggota keselamatan Israel memukul jurufoto AFP, Ahmad Gharabli dengan cota apabila dia merakam serangan mereka ke atas penduduk Palestin di kompleks Masjid al-Aqsa, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyatakan kebimbangan susulan peningkatan keganasan di wilayah Palestin yang diduduki Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sehubungan itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel ke atas penduduk awam dan jemaah Palestin di Masjid Al Aqsa, semalam.

Beliau berkata, serangan ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid yang diamalkan tentera penjajah Israel terhadap hak-hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.

“Mendasari hal ini, Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin yang berpanjangan ini.

“Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.

Katanya, ini termasuk merealisasi aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967, dan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Sekurang-kurangnya 115 rakyat Palestin cedera dalam insiden tersebut apabila askar rejim menceroboh masuk menembak jemaah laman masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.

Tentera Israel turut bertindak menghalang ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menghampiri kawasan masjid bagi merawat mangsa yang cedera terperangkap di sana.

Insiden tercetus itu seperti mengulangi peristiwa sama pada Ramadan tahun lalu yang diikuti dengan perang selama 11 hari dilancarkan pasukan bersenjata Hamas sebagai tindak balas.

Masjid Al-Aqsa yang dikenali sebagai Haram al-Sharif dan terletak di kota lama Baitulmaqdis, merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum beralih kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Ia mampu mengisi 5,000 jemaah manakala pekarangannya dapat memuatkan 400,000 orang dan diletak di bawah pentadbiran agensi wakaf Islam Jordan demi melindungi kesuciannya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN