MUAR: Sebanyak 13 kompaun dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar kepada peniaga bazar Ramadan di sekitar daerah ini atas kegagalan mematuhi peraturan berkaitan kebersihan yang ditetapkan.
Pegawai Epidemiologi PKD Muar, Dr. Mohd. Ridzuan Mohd. Lutpi berkata, daripada jumlah itu, pihaknya telah mengeluarkan 12 notis di bawah Peraturan 32 dan satu notis membabitkan Peraturan 33.
“Di bawah Peraturan 32, ia melibatkan kesalahan pakaian oleh pengendali makanan dengan kompaun dikenakan bernilai RM100 setiap satu. Berdasarkan pemantauan dilakukan, masih ada peniaga bazar yang gagal mengenakan pakaian tepat seperti tidak memakai apron dan kasut bertutup.
“Manakala bagi Peraturan 33, kompaun bernilai RM150 dikenakan kerana pengendali makanan gagal memastikan kebersihan,” katanya ketika ditemui dalam operasi PKD bersama Majlis Perbandaran Muar (MPM) di tapak Bazar Ramadan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini semalam.
Menurut beliau, kesemua notis dikeluarkan merupakan hasil pemeriksaan kali kedua di 11 lokaliti bazar Ramadan dalam daerah ini.
Katanya, melalui pemeriksaan kali pertama sebelum ini, pihaknya hanya memberikan amaran terlebih dahulu kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan sebelum tindakan kompaun dikenakan hasil operasi kali kedua ekoran masih terdapat peniaga yang degil.
“Tindakan tegas ini terpaksa diambil berikutan langkah untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika membeli juadah.
“Sekiranya kebersihan pakaian dan pengendali makanan tidak dijaga, pencemaran silang boleh berlaku sekaligus berisiko menyebabkan keracunan makanan,” katanya sambil memaklumkan setakat ini tiada lagi kes keracunan makanan melibatkan bazar Ramadan.
Terdahulu, dalam operasi itu, pihaknya turut mengedarkan bahan pendidikan kesihatan kepada peniaga. – UTUSAN