Sistem amaran depoh imigresen diaktifkan, elak kejadian di Sungai Bakap berulang - Utusan Malaysia

Sistem amaran depoh imigresen diaktifkan, elak kejadian di Sungai Bakap berulang

KHAIRUL Dzaimee Daud bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2021 di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua depoh imigresen sementara di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor telah diaktifkan sistem amaran bagi memastikan kes rusuhan di Depoh Imigresen Sementara di Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini tidak berulang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, depoh-depoh imigresen sementara itu pada asalnya merupakan sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) namun ciri-ciri keselamatannya tetap ditambah.

Menurutnya, pada kem-kem tersebut, semua tingkap ditambah jeriji manakala duri kawad diletakkan di sekeliling blok dan kawasan berkenaan justeru, keselamatan asas tetap diberi perhatian di semua kem PLKN yang dijadikan depoh sementara tersebut.

“(Apabila berlaku kes ini) keselamatan dipertingkatkan serta-merta dan semua komandan sudah berhubung dengan balai polis berdekatan dan sistem amaran sudah diaktifkan kerana kita tidak mahu kejadian ini memberi inspirasi kepada depoh-depoh lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 528 tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap meloloskan diri, kira-kira pukul 4 pagi tadi. Difahamkan kesemua tahanan yang dipercayai warga Rohingya itu meloloskan diri selepas berlaku rusuhan.

Jelas Khairul Dzaimee, Depoh Imigresen Sementara di Sungai Bakap yang pada asalnya sebuah kem PLKN itu telah disewa Jabatan Imigresen ketika pandemik untuk dijadikan sebagai depoh menempatkan mereka yang positif pada ketika itu.

“Etnik Rohingya yang ditempatkan di depoh-depoh ini pada asalnya ialah mereka yang ditahan di perairan pulau Langkawi pada sekitar 2019 dan kemudiannya ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi dan apabila ia ditutup (kem wawasan) pada 2021 dan mereka dipindahkan ke beberapa depoh termasuk Sungai Bakap ini,” katanya.

Mengulas dakwaan kematian di depot tersebut mencetuskan rusuhan itu, Khairul Dzaimee berkata, satu kematian kerana sakit biasa telah berlaku namun ia tiada kaitan dengan kejadian tersebut dan punca kematian itu masih menunggu laporan doktor.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Imigresen telah mewujudkan dua pos kawalan imigresen di Pangalungan, Sabah dan Bario di Sarawak bagi membantu penduduk setempat.

Khairul Dzaimee berkata, langkah itu bagi membantu penduduk mendapatkan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas dalam kadar segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN