PETALING JAYA: Kegiatan satu sindiket penyeludupan kontraban, bunga api dan perlombongan bitcoin terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan beberapa serbuan membabitkan rampasan berjumlah lebih RM10 juta.
Menerusi 13 serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) serta Pasukan Gerakan Khas (PGK) dilakukan bermula 5 April lalu hingga hari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dalam serbuan pertama di bawah Op Kontraban pada 5 April, satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang, Selangor ditumpaskan.
Kata beliau, seorang lelaki tempatan ditahan dan sebanyak 1,079 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM318,634.40 dirampas selain sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek untuk kegiatan jenayah itu di sita.
Ekoran serbuan itu, pihak CPSK melancarkan serbuan kedua di daerah sama sebelum berjaya merampas 2,800 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.1 jutaz
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mengulas lebih lanjut, kata Hazani, selain itu, pasukan CPSK melakukan serbuan ketiga di Klang, Selangor pada 8 April lalu sebelum menahan seorang lelaki dewasa tempatan serta merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis bernilai RM800,000.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, Hazani berkata, pasukan turut mengesan sebuah premis perindustrian yang menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok tidak mendapat kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Bertindak atas risikan itu, serbuan dilakukan dan dua lelaki yang bertanggungjawab ke atas premis berkenaan ditahan dan merampas 15,600 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta.
“Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan kastam dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya.
Tidak terhenti, beliau berkata, CPSK dan PGK dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan operasi membanteras kegiatan mencuri dan membuat penyambungan elektrik secara haram untuk kegiatan perlombongan bitcoin.
Kata beliau, sembilan premis diserbu dan hasil pemeriksaan berjaya merampas 515 unit mesin perlombongan bitcoin yang dianggarkan bernilai RM1,581,000 dan menahan sembilan lelaki dewasa termasuk dua warga asing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN