Siasatan mungkin cepat jika ada 5,000 penguat kuasa - Azman

Siasatan mungkin cepat jika ada 5,000 penguat kuasa – Azman

AZMAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerja-kerja penyiasatan terhadap aduan diterima daripada pengguna kemungkinan besar boleh disingkatkan tempoh masanya sekiranya terdapat seramai 5,000 penguat kuasa.

Gambaran itu dibayangkan oleh Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam sebagai mengulas isu kekurangan tenaganya.

“Secara umum, setiap aduan akan disiasat yang mesti diselesaikan dalam tempoh 21 hari dan hasil tindakan akan dilapor terus kepada pengadu semula melalui portal e-aduan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar khas di sini baru-baru ini sempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Jubli Emas Hari Penguat Kuasa kementerian itu pada 17 April. 

Sehingga kini, bahagian tersebut hanya mempunyai seramai 2,234 pegawai dan anggota yang menjalankan segala tugas penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara.

Bermula asal dengan cuma 12 anggota daripada Lembaga Padi dan Beras Negara pada 1972, bilangannya bertambah secara berperingkat dan mula dibekalkan uniform khusus sejak 2014.

Bahagian itu turut setaraf agensi penguatkuasaan lain apabila bermula pada 2020 lalu, ia memiliki tenaga kejurulatihan sendiri yang meliputi kawad, menembak, jasmani dan paramedik.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya perlu mengubah pendekatan penguatkuasaan secara keras dan agresif yang banyak turun padang kepada lebih kaedah penggunaan teknologi.

“Kali ini, kami banyak kepada kegiatan risikan di lapangan, pemprofilan data dan sebagainya sejajar era pendigitalan apatah lagi berdepan cabaran melibatkan banyak kes siber,” jelasnya.

Ini ujarnya, termasuk pengenalan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu yang membolehkan pemeriksaan di premis dibuat dengan tepat dan pantas tanpa perlu bazir tenaga.

Begitu juga keberkesanan Ops Samar yang memerlukan penguat kuasa berpakaian preman kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan peniaga bijak berlakon memanipulasi situasi.

Pada masa sama, beliau bersyukur kerana meskipun kekurangan penguat kuasa yang tidak seimbang dengan keperluan populasi, mereka berjaya menyelesaikan 96 peratus kes diadu.

Berdasarkan statistik, untuk tahun ini sehingga akhir Februari lalu, mereka sudah menerima 4,090 aduan yang banyak melibatkan transaksi dalam talian, harga mahal dan barang kawalan.

Sepanjang tahun lalu, bahagian tersebut mendapat 27,322 aduan, merosot berbanding 34,525 aduan pada 2020 iaitu tertinggi dalam sejarah manakala pada 2019 hanya 21,673 aduan.

“Kesedaran pengguna kita juga amat baik apabila ada aduan membabitkan perkhidmatan yang mengelirukan, cetak rompak, barang tiruan dan keraguan isu produk halal,” jelas Azman.

Bagaimanapun beliau optimis masalah kekurangan tenaga tidak boleh dijadikan alasan utama penguatkuasaan yang longgar namun pada waktu sama, kerjasama masyarakat amat perlu.

Beliau turut mengeluarkan amaran pihaknya tidak memilih status individu dalam setiap kes disiasat dan memberi jaminan pelaku akan dibawa ke pengadilan untuk menerima hukuman.-UTUSAN 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN