Seludup beras Siam dengan upah RM10 sekampit - Utusan Malaysia

Seludup beras Siam dengan upah RM10 sekampit

KERETA yang sarat membawa beras seludup ditahan PGA semasa melalui SJR Banggol Kong, Rantau Panjang, Kelantan semalam. - IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Tindakan lelaki membawa 1.1 tan beras bernilai RM4,500 diseludup dari Thailand dengan upah RM10 sekampit tidak berbaloi apabila dia ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Suspek warga tempatan yang memandu kereta jenis Proton Saga ditahan semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, di sini kira-kira pukul 4.30 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintenden Azhari Nusi berkata, turut dirampas, beras pulut seberat 225 kilogram dianggarkan bernilai RM1,575 yang juga ditemukan dalam kenderaan tersebut.

Menurutnya, hasil soal siasat awal, suspek mengaku menerima upah sebanyak RM10 bagi setiap sekampit beras seludup yang dibawanya.

“Kita percaya kesemua beras ini dibawa masuk secara tidak sah menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Negara Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam satu lagi kes berasingan, Azhari berkata, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu merampas 1.2 tan beras seludup bernilai RM4,800 dalam sebuah Proton Saga Iswara yang terbabas di Kampung Teluk Jering, Tumpat hari sama.

Katanya, sebelum kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, anggota PGA yang membuat rondaan rutin mendapati kereta tersebut dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu mengejarnya.

“Suspsk cuba melarikan diri sebelum kereta dipandunya terbabas di Kampung Teluk Jering. Pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai beras seludup yang dianggarkan berjumlah RM4,800 yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang penumpang dan but,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua kes di siasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN