KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel yang berselindung di sebalik perkhidmatan kapal pelancongan, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, sebanyak 46,000 liter minyak diesel dan sebuah kapal pelancongan dirampas di jeti persendirian di sini melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM387,270.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an yang leka memindahkan minyak diesel dari tangki di atas kapal itu ke sebuah tangki berasingan di jeti.
Katanya, siasatan awal mendapati bahagian dalam kapal pelancongan itu diubah suai bagi tujuan penyelewengan dan penjualan minyak diesel ke pasaran seluruh negara.
“Pemeriksaan menjumpai 17 tangki, dua pam minyak, dua unit ‘flow meter’ dan segulung paip getah yang bersambung ke tangki di atas jeti dipercayai untuk memindahkan minyak secara haram,” katanya dal sidang akhbar di lokasi kejadian.
Saharuddin tidak menolak kemungkinan kegiatan itu sudah empat bulan dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, pesalah boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak lebih RM2 juta, jika sabit kesalahan. – UTUSAN