Bersatu tidak setuju

RUU: Bersatu bantah syarat kosongkan kerusi

RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan oleh majoriti 2/3 ahli Parlimen untuk memastikan kerajaan yang stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan terhadap mana-mana ahli parlimen yang dipecat kerana melompat parti sekali gus Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.

Perkara itu antara tiga kriteria lompat parti yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti yang akan dibentang di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kelmarin.

Ia dipengerusikan oleh pre­si­den parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Glenmarie, Shah Alam selepas beberapa jam menghadiri sesi libat urus de­ngan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Bersatu secara kolektif ti­dak bersetuju dengan beberapa per­kara dalam RUU Anti Lompat Parti. Contohnya kalau seseorang itu tegakkan prinsip dia, dan dia dikenakan tindakan, selepas itu dia kena tinggalkan kerusi dia?

“Kita akan tengok berapa banyak pilihan raya kecil akan berlaku. Contoh lain, kes Tan Sri Muhyiddin yang dipecat daripada UMNO, takkan nak kena kosongkan kerusi dia?

“Asalnya hasrat itu baik, tetapi nampak dimanipulasi oleh ketua-ketua parti tertentu se­olah-olah mengikat wakil rak­yat supaya tunduk pada kepenti­ngan kepimpinan sesuatu parti. Ini tidak adil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan bacaan kali pertama Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan 11 April ini di Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata, keputusan tersebut dibuat setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan kuasanya di bawah Perkara 11 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Malah, Wan Junaidi sebelum ini turut memaklumkan Seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 hingga kini.

Sumber itu juga memberitahu, dalam me­syu­arat MPT berkenaan, Bersatu juga membawa isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang perlu dipilih daripada parti tersebut.

Nama yang dicadangkan untuk jawatan itu adalah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam masa yang sama, isu Zuraida Kamaruddin turut dibangktikan di mana semua ahli MPT mendesak beliau dipecat daripada parti dengan segera kerana difahamkan Zuraida telah mempengerusikan mesyuarat Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini.

“Desakan datang dari hampir semua MPT. Tan Sri Muhyiddin bersetuju dalam hal ini untuk Zuraida diambil tindakan berdasarkan perlembagaan aturan parti dan waktu yang sama disebut tentang jawatan beliau dalam kabinet perlu diubah, jadi Tan Sri akan berjumpa dengan Perdana Menteri lah nanti,” ujar sumber itu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Zuraida disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MPT Bersatu, di mana ia dianggotai lebih 30 ahli MPT termasuk presiden Bersatu itu sendiri.

Dalam perkembangan ber­kaitan, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Salawati Mat Basir berpendapat, RUU itu adalah baik demi kestabilan politik kerana masyarakat rata-rata­nya marah dengan keadaan yang berlaku hari ini dengan meletakkan mereka sebagai mangsa.

“Perlu diingat, ada yang menyokong seseorang calon itu kerana parti, tiba-tiba mereka lompat ke parti lain. Sudah pasti mereka akan marah sebab masyarakat rata-rata mempu­nyai perjuangan mereka sendiri,” jelasnya.

Setakat ini, beberapa parti telah menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan terhadap RUU Akta Anti Lompat Parti seperti termasuklah UMNO, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN