IPOH: Polis memberi jaminan operasi mencari dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai di sini, tidak dihentikan walaupun kerja-kerja pencarian belum membuahkan hasil.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi mencari mangsa yang masuk hari ke-31 itu diteruskan oleh pasukan penyelamat termasuk pengusaha kuari.
Katanya, dalam operasi itu, pengusaha kuari memberi kerjasama baik dalam usaha mengesan dua mangsa yang tertimbus, begitu juga jentera digunakan.
“Setakat ini kita belum buat sebarang keputusan (menghentikan operasi) walaupun pelbagai usaha dibuat oleh semua agensi termasuk penguasa kuari. Operasi pencarian juga belum membuahkan hasil.
“Sehingga kini, operasi mengesan mangsa masih diteruskan. Itu jaminan yang saya boleh bagi. Bagaimanapun, jika selepas ini kita berjumpa dengan semua agensi berkaitan dan buat keputusan sebaliknya, itu belum tahu lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Media pada 19 Mac lalu melaporkan, pasukan penyelamat mengenal pasti jangkaan kedudukan dua mangsa yang tertimbus runtuhan batu di tapak kuari berkenaan.
Kerja-kerja penggalian dan penebukan bongkah batu membabitkan kawasan seluas sembilan meter dengan kedalaman 11 meter itu dijalankan dengan menggunakan mesin gerudi.
Kerja-kerja itu dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat dan pekerja syarikat kuari.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN










