KANGAR: Penjawat awam, golongan profesional dan pesara di negeri ini antara yang masuk perangkap penipuan Macau Scam sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.
Kebanyakannya terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa yang mendakwa mangsa terlibat kes jenayah, mempunyai tunggakan cukai dan pinjaman bank.
Tidak sampai suku kedua tahun ini, 17 kes berlaku melibatkan kerugian RM766,383 manakala dari 2017 hingga April ini, 90 kes dilaporkan mengakibatkan kerugian RM2.68 juta. Daripada jumlah kes, 42.5 peratus mangsa jenayah Macau Scam berusia 55 tahun ke atas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, statistik aduan menunjukkan penjawat awam merupakan kumpulan terbesar menjadi mangsa jenayah Macau Scam.
Katanya, warga emas yang mempunyai wang persaraan yang banyak sering menjadi sasaran sindiket tersebut kerana mereka kurang terdedah dengan modus operandi penjenayah terbabit.
“Mangsa yang terperdaya dengan sindiket ini melibatkan lingkungan umur 18 hingga 65 tahun. Selain kakitangan awam, golongan profesional dan pelajar universiti juga ada ditipu oleh Macau Scam ini. Mereka (sindiket) akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis, mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Mangsa yang dihubungi sindiket ini akan dikatakan terlibat dalam kes jenayah atau mempunyai tunggakan bayaran cukai, pinjaman bank dan sebagainya. Mereka juga diugut ditangkap dan didakwa selain dilarang memberitahu orang lain mengenai perkara itu,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak tujuh kes dilaporkan pada 2017 dengan nilai kerugian RM45,440, 15 kes pada 2018 (RM290,073), 22 kes pada 2019 (RM459,234), 14 kes pada 2020 (RM245,897) dan 15 kes pada 2021 (RM897,064).
Tambahnya, ekoran itu, mangsa akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan dan berasa seperti diperhatikan selagi suspek tidak selesai menghabiskan segala wang simpanan mangsa.
Ujarnya, ada kalanya tempoh tersebut memakan masa sehingga berbulan-bulan dan sindiket sentiasa berhubung dengan mangsa bagi memastikan perkara tersebut tidak terbongkar, dan ada kalanya mangsa lebih yakin dan percaya kepada sindiket berbanding ahli keluarga sendiri.
“Malah baru-baru ini, terdapat kes melibatkan seorang wanita pesara kerajaan berusia 61 tahun yang kerugian RM373,000 apabila terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam sejak November tahun lalu. Lazimnya, suspek akan meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan atau memindahkan wang ke akaun bank yang tidak dikenali bagi tujuan siasatan.
“Ada juga kes yang mana suspek meminta mangsa membuka akaun baharu dengan mendaftarkan nombor telefon suspek. Selepas mangsa memindahkan semua wang simpanan ke akaun tersebut, pihak sindiket akan memindahkan wang tersebut ke akaun pihak ketiga dalam beberapa transaksi,” katanya. – UTUSAN










