SHAH ALAM: Masyarakat Islam di seluruh negara khususnya di negeri ini diseru mengambil kesempatan terhadap peralihan wabak Covid-19 kepada fasa endemik pada bulan Ramadan untuk memperbaiki diri dan perbanyak amalan ibadah.
Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd.Yusof, masyarakat di negara ini dianggap bertuah apabila peralihan kepada fasa endemik dibuat ketika menjelang bulan Ramadan yang turut membenarkan kehadiran jemaah ke masjid dan surau lebih ramai.
“Pengalaman pelbagai ujian sepanjang Ramadan fasa pandemik dua tahun lalu, seharusnya diambil iktibar dengan memenuhi setiap ruang dan masa untuk meningkatkan ibadah pada kali ini.
“Kedatangan Ramadhan kali ini bukan sahaja orang Muslim boleh menjalankan ibadah sebagaimana biasa, namun adalah diharapkan masjid dan surau akan lebih dihidupkan dan dimakmurkan sebagai suatu bukti kerinduan yang lama tersimpan,” katanya dalam satu kenyataan.
Negara memulakan fasa endemik Covid-19 yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan termasuk membenarkan solat jemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau.
Malah kelonggaran dalam prosedur operasi standard ini juga turut membolehkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dibuat di masjid dan surau khususnya pada bulan Ramadan tahun ini.
Bagaimanapun, Abdul Aziz menasihatkan umat Islam hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih dikuatkuasakan termasuk pemakaian pelitup muka serta segera melengkapkan vaksin Covid-19 agar kesihatan diri terpelihara dengan sempurna.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bulan Ramadan juga adalah peluang kepada umat Islam menggandakan pahala dengan menunaikan kewajipan berzakat sama ada zakat harta dan fitrah melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Selain itu, sedekah juga boleh dilakukan melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), menunaikan wakaf melalui Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan sumbangan anak yatim melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
“Semua ini boleh dilaksanakan melalui atas talian di laman web MAIS www.mais.gov.my atau agensi yang berkaitan. Kemudahan menunaikan ibadah melalui digital ini, adalah satu peluang untuk orang ramai melaksanakan ibadah tanpa pelbagai alasan. Rebutlah peluang ini dan elakkan melaksanakannya di saat akhir terutamanya dalam menunaikan kewajipan berzakat,” katanya.
Beliau mengharapkan agar semua umat Islam memperbaharui niat untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti dalam melaksanakan ibadah serta memperbaiki diri supaya Ramadan fasa endemik ini lebih baik daripada yang sebelumnya. – UTUSAN