PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memerintahkan Public Bank untuk membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan empat yang lain.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian pada prosiding taksiran ganti rugi hari ini.
Pada 26 Mei lalu, panel tiga hakim itu membenarkan rayuan NFCorp berhubung ganti rugi nominal.
Selain NFCorp, empat yang lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Mohamad Salleh merupakan suami kepada bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam saman yang difailkan perayu terhadap bank itu pada 22 Mei 2012, mereka mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu. – UTUSAN









