LONDON: Satu kajian saintifik terkini mendedahkan sejenis bahan kimia yang berpotensi menjejaskan pembiakan manusia dikesan di hampir kesemua sungai utama di seluruh Britain.
Penemuan mengejutkan itu merangkumi kehadiran trifluoroacetic acid (TFA), sejenis bahan kimia dalam kumpulan per- and polyfluoroalkyl substances (PFAS) atau dikenali umum sebagai bahan kimia kekal yang digunakan secara meluas dalam pelbagai produk pengguna dan mampu kekal dalam persekitaran lebih 1,000 tahun.
Menurut laporan penyelidikan yang dibiayai badan amal alam sekitar Fidra, para saintis menganalisis sampel air dari 32 sungai di seluruh England, Scotland, Wales dan Ireland Utara, dengan keputusan mendapati 31 daripadanya mengandungi jejak TFA.
Sungai Kelvin di Glasgow mencatatkan bacaan tertinggi dengan 78,464 nanogram (ng) TFA seliter air menjadikannya pencemaran TFA kedua tertinggi pernah direkodkan di peringkat global.
Satu-satunya sungai yang tidak mengandungi TFA adalah Sungai Ness yang mengalir dari Loch Ness ke Moray Firth di Scotland.
“Kita semua meminum air yang mengandungi TFA setiap hari, pendedahan sepanjang hayat inilah yang menjadi kebimbangan utama,” kata Profesor Alistair Boxall, ahli sains alam sekitar dari Universiti York.
TFA bukan sahaja berasal daripada sisa perindustrian, malah turut terdapat dalam makanan harian seperti bijirin, roti, dan pasta, serta dalam produk penjagaan diri dan pembersih isi rumah disamping merupakan hasil pereputan bahan PFAS dalam racun perosak dan alat penyejuk seperti pendingin hawa.
Pakar memberi amaran TFA bersifat amat sukar untuk dihapuskan dan tiada kaedah berkesan buat masa ini untuk mengeluarkannya daripada alam sekitar selain kepekatan bahan ini dijangka terus meningkat sekiranya tiada tindakan segera diambil.
Laporan kajian itu menyimpulkan penemuan menyeluruh TFA dalam sampel air UK memberikan bukti kukuh PFAS telah mencemari sistem saliran negara.











