PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menjalani prosedur rawatan jantung berjalan lancar dan berjaya tanpa sebarang komplikasi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa negara mempunyai kepakaran dan fasiliti perubatan yang setanding dengan negara-negara maju.
“Alhamdulillah, prosedur yang dijalani oleh Tuan Guru Presiden telah berjalan lancar dan berjaya.
“Saya mewakili Pas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan pakar Institut Jantung Negara (IJN) yang telah berjaya melaksanakan prosedur rawatan jantung ke atas Tuan Guru Presiden,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurutnya beberapa jam sebelum prosedur dijalankan, beliau bersama beberapa pimpinan kanan parti telah diberi taklimat oleh pasukan pakar yang merawat Abdul Hadi.
“Saya dapat melihat sendiri betapa tinggi komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan ini dalam melaksanakan pembedahan tersebut.
“Dengan ketabahan, kesungguhan, kepakaran serta doa yang dipanjatkan oleh semua pihak kepada Allah, akhirnya, presiden telah selamat menjalani pembedahan,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada semua jururawat IJN serta pihak-pihak yang mendoakan kesejahteraan Abdul Hadi sepanjang menerima rawatan.
“Semoga Allah SWT membalas jasa dan pengorbanan semua pihak dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat,” katanya. – UTUSAN










