KANGAR: Kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri ini masih rendah iaitu hanya sekitar 25.6 peratus.
Justeru, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru ibu bapa agar membawa anak-anak menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) dan segera menerima vaksin Covid-19 sebagaimana ditetapkan.
Titah baginda, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan keterukan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
“Para majikan juga boleh bekerjasama membenarkan pekerja dalam kalangan ibu bapa membawa anak-anak untuk janji temu vaksinasi.
“Kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi hendaklah patuh janji temu dan mengambil ubatan seperti aturan yang ditetapkan,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan MAIPs peduli bilangan ke-27 2022 di sini hari ini.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan singgah dan menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700, beras serta bekalan makanan mentah dan juga sumbangan wang dan bakul makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Maybank Islamic Berhad kepada tiga asnaf.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menasihatkan ibu bapa atau penjaga mengutamakan kesihatan anak-anak dengan cara mendidik mereka sentiasa menjaga kebersihan diri.
“Anak-anak perlu sentiasa menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembunuh kuman serta membiasakan mereka untuk memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah.
“Anak-anak juga perlu dilatih untuk mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi meningkatkan daya imuniti bagi menentang jangkitan kuman.
“Ibu bapa juga perlu mengelakkan anak-anak daripada berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19 sekali gus dapat membantu mengurangkan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini,” katanya. –UTUSAN










