BUKAN sekadar bangunan yang dipenuhi pelayan dan peralatan teknologi, pusat data adalah antara infrastruktur penting yang bakal membentuk landskap ekonomi digital Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, e-dagang, perbankan digital dan pelbagai perkhidmatan berasaskan data dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap kapasiti penyimpanan serta kuasa pengkomputeran.
Namun, nilai sebenar industri pusat data tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan atau bilangan fasiliti yang dibangunkan semata-mata.
Persoalan lebih besar ialah sejauh mana pertumbuhan industri itu mampu mewujudkan rantaian nilai tempatan, pekerjaan berkemahiran tinggi, peluang kepada syarikat Malaysia serta melonjakkan keupayaan negara dalam bidang AI dan teknologi digital.
Minggu ini, Ringgit melihat peluang jangka panjang industri pusat data di Malaysia
Pusat data sebagai infrastruktur ekonomi digital
Pusat data pada masa depan tidak lagi boleh dilihat hanya sebagai bangunan yang menempatkan server. Ia semakin menjadi infrastruktur asas kepada ekonomi digital, sama seperti rangkaian telekomunikasi, tenaga dan pengangkutan.
Hampir semua aktiviti ekonomi digital bergantung kepada kemampuan menyimpan, memproses dan memindahkan data.
Malaysia sebagai hab AI serantau
Ini mungkin peluang paling besar dalam jangka panjang.
Pertumbuhan AI memerlukan kapasiti pengkomputeran yang jauh lebih besar berbanding aplikasi digital biasa. Model AI memerlukan pemprosesan data dalam jumlah besar dan perkakasan berprestasi tinggi.
Peluang kepada industri tempatan
Nilai ekonomi pusat data tidak seharusnya berhenti kepada syarikat yang memiliki atau mengendalikan fasiliti berkenaan.
Sebaliknya, setiap projek pusat data berskala besar boleh mewujudkan rantaian nilai yang panjang, bermula daripada peringkat perancangan dan pembinaan, pemasangan peralatan, operasi, penyelenggaraan sehinggalah kepada perkhidmatan teknologi bernilai tinggi.
Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana syarikat Malaysia mampu menyertai rantaian tersebut.
Pekerjaan berkemahiran tinggi
Pertumbuhan pusat data juga membuka peluang untuk Malaysia membina modal insan dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.
Namun, jumlah pekerjaan bukan satu-satunya ukuran.
Tenaga boleh baharu sebagai peluang baharu
Antara isu paling penting dalam perkembangan industri pusat data ialah keperluan terhadap bekalan elektrik yang besar, stabil dan berterusan.
Berbeza dengan kebanyakan bangunan komersial, pusat data memerlukan bekalan elektrik secara berterusan bagi memastikan pelayan, sistem rangkaian, penyejukan dan sistem keselamatan dapat beroperasi tanpa gangguan.
Keperluan tersebut dijangka menjadi semakin penting apabila permintaan terhadap pengkomputeran awan, AI, pemprosesan data dan perkhidmatan digital terus berkembang.
Namun, peningkatan permintaan tenaga tidak semestinya hanya dilihat sebagai cabaran kepada sistem bekalan elektrik negara.
Sebaliknya, ia juga boleh membuka ruang baharu kepada industri tenaga, khususnya tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan teknologi kecekapan tenaga.
Kecekapan tenaga menjadi peluang perniagaan
Selain menghasilkan lebih banyak tenaga, satu lagi penyelesaian ialah menggunakan tenaga dengan lebih cekap.
Pusat data memerlukan tenaga bukan sahaja untuk menggerakkan pelayan tetapi juga untuk sistem penyejukan, pengudaraan, pencahayaan dan pelbagai sistem sokongan.
Pengukuhan grid elektrik
Pusat data memerlukan bekalan elektrik yang stabil. Pertumbuhan industri ini juga mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan rangkaian elektrik.
Berbeza dengan kebanyakan premis komersial, pusat data beroperasi sepanjang masa dan bergantung kepada bekalan elektrik yang konsisten untuk memastikan pelayan, sistem rangkaian, penyejukan serta sistem keselamatan terus berfungsi.
Sebarang gangguan bekalan boleh menjejaskan operasi pusat data dan perkhidmatan digital yang bergantung kepadanya.
Atas sebab itu, pembangunan pusat data berskala besar perlu berjalan seiring dengan perancangan infrastruktur elektrik negara.
Sistem penyejukan menjadi semakin penting
Satu daripada komponen utama penggunaan tenaga pusat data ialah sistem penyejukan.
Semakin tinggi kepadatan pengkomputeran, khususnya bagi aplikasi AI, semakin penting pengurusan haba dan kecekapan penyejukan.
Pelayan dan cip berprestasi tinggi menghasilkan haba ketika menjalankan pemprosesan data dalam jumlah besar. Haba tersebut perlu diurus dengan cekap bagi memastikan peralatan dapat beroperasi pada suhu yang sesuai dan mengurangkan risiko gangguan operasi. – UTUSAN











