MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan

PSH: MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan

NORAINI Ahmad (tengah) menyaksikan MQA memeterai kerjasama dengan lapan IPT menerusi MoU di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk Program Rintis Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC). 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha MQA membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Stand-alone Micro-credentials dapat menyokong inisiatif kementerian Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE) dan kursus micro-credentials yang ditawarkan IPT tempatan, khususnya dalam aspek pengukuhan kualiti serta pengiktirafan. 

Beliau berkata, pihaknya sedang mengusahakan satu fasa baharu pembelajaran fleksibel yang mana penawaran kursus micro-credentials walaupun pada asalnya tiada sebarang kaitan dengan mana-mana program pengajian, tetapi kini boleh diiktiraf untuk mendapat pemindahan kredit. 

Katanya, inisiatif itu bakal membolehkan individu yang telah mengumpulkan sejumlah kursus micro-credentials, secara fleksibel memohon untuk bergraduasi setelah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sesebuah IPT.

“Saya juga melihat potensi besar usaha memperkembang kursus-kursus micro-credentials yang melangkaui manfaat ekosistem peningkatan kemahiran dan penambah biakan kemahiran.

“Dalam hubungan ini, IPT boleh memanfaat kerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong edutourism dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar di luar negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara MQA dengan lapan IPT untuk Program Rintis Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), di kementeriannya, di sini hari ini.

Lapan IPT berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Management and Science University (MSU) serta institusi di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Pada majlis itu, MQA diwaliki Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, manakala USM, UTM, UiTM dan UPSI diwakili Naib Canselornya, masing-masing Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dan Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, UMP pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

MSU diwakili Presidennya, Prof Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid, UTAR diwakili Naib Presidennya, Ir Prof. Dr. Goi Bok Min dan institusi di bawah seliaan JPPKK diwakili Zainab.

Noraini berkata, dalam lawatan rasminya ke Delhi, India, baru-baru ini, penawaran kursus micro-crendentials menjadi antara topik yang dibincangkan dengan rakan strategik di negara itu.

Katanya, ruang kerjasama yang terjalin akan menarik lebih ramai pelajar dari negara itu untuk menyambung pengajian di Malaysia. 

“Saya turut difahamkan bahawa sayap kolaborasi penawaran kursus micro-credentials akan dikembangkan ke IPT di benua lain seperti Eropah, Afrika, Amerika Selatan, Asia serta benua Amerika termasuk di Kanada dan Amerika Syarikat, tanpa melupakan negara di Asia.

“Inisiatif ini diharap akan membantu melonjakkan usaha negara untuk menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya