Pengganas bom lebuh raya Colombia

Pengganas bom lebuh raya Colombia

ORANG ramai berhimpun di lokasi letupan selepas serangan bom di El Tunel, jalan Popayan-Cali di Cajibio di wilayah Cauca, Colombia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Serangan bom lebuh raya di wilayah bergolak di barat daya Colombia mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 38 yang lain dalam gelombang keganasan terbaharu menjelang pilihan raya presiden bulan depan.

Serangan di wilayah Cauca, kawasan bergolak yang juga terkenal dengan penanaman koka, dipercayai didalangi kumpulan serpihan bekas gerila FARC yang kini dibubarkan, menurut pihak berkuasa.

Presiden, Gustavo Petro dalam hantaran di platform X mengecam sekeras-kerasnya insiden itu dan menyifatkan pelaku sebagai pengganas, fasis serta pengedar dadah.

Sementara itu, polis memaklumkan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu yang dilaporkan hilang.

“Ini adalah serangan pengganas terhadap orang awam,” kata Ketua Tentera, Hugo Lopez dalam satu sidang media.

Beliau berkata, bom itu meletup selepas penyerang menghentikan aliran trafik dengan menghalang jalan menggunakan bas dan sebuah lagi kenderaan.

Letupan di Lebuhraya Pan-Amerika itu merosakkan bas dan van, manakala beberapa kereta turut terbalik akibat impak tersebut. Kawah besar turut terbentuk di tengah jalan raya.

Gelombang keganasan berlaku susulan satu serangan bom pada Jumaat di sebuah pangkalan tentera di Cali, bandar ketiga terbesar Colombia yang mencederakan dua orang serta mencetuskan siri serangan di wilayah Valle del Cauca.

Lopez berkata, sebanyak 26 serangan direkodkan di kedua-dua wilayah tersebut dalam tempoh dua hari lalu.

Colombia mempunyai sejarah kumpulan bersenjata yang membiayai operasi mereka melalui penyeludupan dadah, perlombongan haram dan pemerasan, serta cubaan mempengaruhi pilihan raya menerusi keganasan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN