PETALING JAYA: Walaupun terbengkalai lebih 43 bulan, Perancis menyatakan komitmen untuk meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) berdasarkan perjanjian asal.
Justeru Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague berkata, penglibatan dua syarikat sebelum ini Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (BNS) dan Naval Group juga perlu diteruskan.
Beliau dalam masa yang sama yakin, projek kapal bernilai RM9.128 bilion itu dapat disiapkan tanpa sebarang masalah sebaik sahaja diteruskan semula.
“Apa yang saya boleh beritahu, projek ini akan diteruskan sehingga tamat dengan penglibatan Perancis walaupun penyertaan syarikat kami hanyalah kecil.
“Kami mahu siapkan projek.Tambahan pula ia ada adalah kerjasama Malaysia menerusi syarikat BNS dengan penglibatan secara kecil daripada syarikat Perancis, Naval Group. Kedua-dua syarikat akan terlibat dan itu adalah perjanjiannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kapal LCS sebelum ini berdepan kelewatan yang berpunca daripada pengeluar produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.
Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan.
Kontrak perolehan enam buah kapal LCS itu ditandatangani pada tahun 2014 dan sehingga kini tiada satupun daripada enam buah kapal siap dibina serta diserahkan kepada TLDM.
Susulan daripada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa yang sama turut menyatakan hasrat bagi meminta bantuan Perancis menyelesaikan isu pembinaan kapal berkenaan sebelum ini.
Dalam pada itu, Roland ketika diminta mengulas sama ada peperangan antara Rusia dan Ukraine memberi kesan kepada perbelanjaan pertahanan negara di rantau Asia, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya perkara tersebut.
“Dari segi jumlah angka saya masih tidak dapat kepastian. Namun apa yang saya lihat di Eropah pada masa ini trend peningkatan perbelanjaan pertahanan bukan hanya disebabkan apa yang berlaku antara Rusia dan Ukraine.
“Rakan strategik kami, Jerman contohnya, telah beberapa kali menaikkan perbelanjaan pertahanan sebelum ini (perang) lagi. Jadi Asia tidak terkecuali. Pada pandangan saya, Jepun antaranya (dilihat serius untuk perbelanjaan pertahanan),” jelasnya. – UTUSAN










