Polis temui tengkorak, cebisan tulang dipercayai kanak-kanak perempuan

Polis temui tengkorak, cebisan tulang dipercayai kanak-kanak perempuan

ANGGOTA polis dari Unit Forensik terus melakukan pencarian di dalam kawasan hutan di Taman Bukit Zamrud, Seremban, hari ini. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menemui tengkorak manusia, bahagian geraham dan cebisan tulang dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di dalam kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan, penemuan kira-kira pukul 11 pagi itu ada kaitan dengan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini pada 20 Mac lalu yang kini di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

NANDA MAAROF

“Kami percaya tulang-tulang ini kemungkinan adalah tulang kepada mangsa, bagaimanapun ia masih lagi dalam siasatan lanjut, proses forensik dan patologi untuk mengesahkannya. Penemuan ini hasil soal siasat yang diperoleh daripada dua daripada tiga orang suspek yang ditahan sebelum ini. Seorang daripadanya mengakui tempat lokasi mangsa ditanam, kami cari dan jumpa tengkorak. 

“Tempat penemuan kira-kira 10 meter dari lokasi asal yang dikatakan mangsa ditanam. Tulang dan tengkorang ditemui bertaburan di atas tanah tetapi telah ditutupi dengan daun-daun kering dan pokok-pokok kecil. Kami buka kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ia ada kaitan dengan kes sebelum ini yang juga disiasat mengikut seksyen yang sama,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi penemuan tersebut hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan tempoh reman tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini pada 20 Mac lalu disambung.

Perintah reman ke atas dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang mempunyai talian persaudaraan itu dilanjutkan sehingga 11 April depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Nanda berkata, pihak polis percaya, penemuan tersebut akan menyelesaikan kes penemuan mayat wanita di dalam gaung yang dilaporkan sebelum ini serta kes berkaitan kehilangan seorang kanak-kanak.

“Mayat wanita yang dijumpai sebelum ini dengan rangka kanak-kanak ini tidak mempunyai sebarang hubungan namun dipercayai masing-masing pernah duduk serumah dengan suspek.

“Kami percaya kes ini selesai, bagaimanapun kena tunggu laporan patologi dan forensik. Kes ini hampir kepada penghujung siasatan dan tindakan pendakwaan terhadap suspek akan diambil secepat mungkin selepas kertas siasatan disiapkan dan kemudian menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini.

Susulan itu, pada 28 Mac, pihak polis menemui petunjuk baharu dan kemudian melakukan pencarian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) ke kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Aset Air Berhad di Taman Bukit Zamrud di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya