Polis klasifikasi kes lelaki mati dengan rantai besi di kaki sebagai kes bunuh - Utusan Malaysia

Polis klasifikasi kes lelaki mati dengan rantai besi di kaki sebagai kes bunuh

POLIS mengklasifikasikan semula kes seorang lelaki Indonesia ditemukan mati dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi pada kerusi dan mayatnya ditemukan di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu sebagai kes bunuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis mengklasifikasikan semula kes seorang lelaki Indonesia ditemukan mati dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi pada kerusi dan mayatnya ditemukan di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong, di sini sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, sebelum ini kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut namun terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam kes tersebut khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

”Selain itu, tindakan rakan serumah si mati yang melarikan diri sejurus selepas kejadian juga telah menjadi tanda tanya.

”Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh),” katanya di sini hari ini.

Pada 22 April lalu, mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong, di sini.

Mangsa berusia 33 tahun itu ditemukan orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

Menurut Soffian, polis turut menahan dua lelaki termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita juga berjaya mengesan rakan serumah mangsa yang melarikan diri sebaik sahaja kejadian berkenaan. Lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang, di sini pukul 12.10 tengah malam tadi,” katanya.

Tambahnya, suspek kedua yang juga lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam, di sini.

”Kedua-dua mereka direman sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa di Hospital Pulau Pinang(HPP) mendapati, mangsa mati disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan akibat jatuh dari tempat tinggi, malah turut didapati positif Covid-19. 

“Laporan bedah siasat juga mendapati pemeriksaan ke atas mayat tidak menjumpai sebarang tanda-tanda pergelutan.Siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya